Saturday, 13 December 2014

PAU INTI KARI KENTANG

PAU KARI AYAM YANG SEDAP..





Assalamualaikum.. selamat pagi semua.. awal Ita updatekan resepi ya.. Bukan apa, Kami nak je kongsikan pau yang sedap ini. Pau ni Ita sediakan buat Adam yang sangat sukakan apa-apa kuih yang berintikan kari. Bagi je lah kuih apa kat dia, kalau ada kari.. memang dia suka. Ita pulak.. kalau anak-anak suka.. yang tu lah yang kita rajin nak membuatnya. Sebenarnya pau ni Ita buatkan beberapa hari lepas sebelum Ita ke Kuala Lumpur untuk treatment Ita. Bila sampai rumah malam tadi Ita dah penat nak menghadap PC , jadinya pagi ni Ita terus rasa nak update.., sebab lama sangat rasanya tak menyentuh komputer Ita ni.. Ya lah.. dah ini aje yang menemani Ita sepanjang Ita cuti sakit. Dah jadi sahabat Ita pulak..he.he..

Membuat pau ni ..kena banyak sabar sebab memang mengambil masa yang agak lama tapi nak buat tak susah sangat. Kalau lorat nak gi.. mano2.. meme tak leh buat..he..he.. kena banyok sabar la..

Kali ini, Ita buat pau  inti kari ayam..  Kalau nak buat inti kelapa rasanya kurang permintaan sikit kat rumah ni. maklumlah rata-rata peminat kari dalam rumah ni. Jadi.., Ita olahkan kentang dan ayam bersama kari lah. Alhamdulillah.. olahan Ita menjadi dan mendapat sambutan..he..he..

Jom kita intai-intai bahan-bahannya.






PAU KARI AYAM

Bahan-bahannya:

500 gm tepung pau
2 1/2 sudu besar gula pasir
1/2 sudu baking powder
6 gm yis
1 cawan air 
1/4 cawan minyak masak
1/2 biji telur

kertas @ daun pisang untuk mengalas

Bahan Inti:

1 biji kentang - kupas kulit dan potong dadu
1 cawan ayam yang dicincang
1 biji bawang besar - cincang
3 ulas bawang putih-cincang
1/2 sudu kecil garam
1/2 kiub pati ayam
2 sudu besar gula
2 sudu rempah kari - bancuh dengan sedikit air
3 sudu minyak masak
3 sudu besar air


Cara-caranya:

  1. Panaskan kukusan.
  2. Membuat inti:  Panaskan minyak, tumis bawang merah dan bawang putih.
  3. Bila layu, masukkan rempah kari. Kacau rata.
  4. Masukkan garam, gula dan serbuk pati ayam.
  5. Masukkan kentang, ayam dan sedikit air. Kacau rata.  Perlahankan api. Tutup periuk.
  6. Biar hingga kentang dan ayam empuk.
  7. Angkat dan ketepikan.
  8. Membuat Pau:  Dalam mangkuk, ayak gandum dan baking powder.
  9. Larutkan yis bersama gula, air, minyak dan telur.
  10. Tuangkan ke dalam adunan gandum dan uli hinggga tidak melekat pada mangkuk.
  11. Rehatkan sehingga adunan naik sekali ganda.
  12. Bila naik, tumbuk-tumbukkan adunan kemudian uli dan bahagikan adunan kepada beberapa bahagian kecil.
  13. Leperkan dan masukkan inti. Bulatkan dan letakkan di atas daun pisang yang dibentuk bulat.
  14. Rehatkan sehingga doh naik.
  15. Kukus selama 10 minit.
  16. Tutup tudung kukusan dengan kain agar air wap tidak menitik di atas pau.


Intinya boleh digunakan ikut citarasa. Kalau kacang merah, dah ada yang ready made kat kedai-kedai bakery. Kalau orang-orang tua, biasanya lebih sukakan inti kelapa. Tak kurang juga inti kacang hijau yang dimasak dengan gula melaka dan sedikit kelapa. Namun, apa-apa inti pun tak mengapa asalkan kena dengan selera kita kan.

Assalamualaikum.        Selamat Mencuba..