AYAM KAMPUNG GORENG REMPAH BERMADU

AYAM KAMPUNG GORENG REMPAH BERMADU KEGEMARAN KAMI..


Assalamualaikum.. apa khabar semua. semuga hari ini lebih ceria dari semalam. Banyakkan berdoa agar kehidupan kita sentiasa mendapat rahmat dari Nya. Sentiasa mengingati Nya akan menjadikan kita sentiasa reda dengan setiap apa yang dikurniakan Nya. 

Hari ini Ita nak kongsikan resepi lauk yang Ita hidangkan untuk anak-nak lunch tadi. Kebetulan ada ayam kampung yang dibeli hubby, Ita mengambil keputusan untuk goreng berempah. Emmm.. memang sedap. Kena pulak dengan nasi panas-panas, memang sedap tak terkata.

Tak mahu cerita panjang-panjang..jom kita tengok resepinya ya..

AYAM GORENG REMPAH BERMADU

Bahan-bahannya:

1/2 ekor ayam kampung - potong kecil
1 sudu kecil garam
 1 sudu besar rempah kari
1 biji bawang besar - potong bulat
1 biji cili merah-hiris
1 biji cili hijau - hiris
Minyak untuk menggoreng
2 sudu besar madu

Bahan kisar:

2 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
2 inci kunyit hidup
2 sudu besar ketumbar
2 biji bunga lawang
2 batang serai



Cara-caranya : 


  1. Perap ayam dengan bahan kisar, madu, garam dan rempah kari.
  2. Perap selama 1 jam.
  3. Panaskan minyak dan goreng hingga ayam masak.
  4. Angkat ayam. Dalam kuali yang sama, goreng bawang besar, cili merah dan cili hijau.
  5. Goreng sekejap sahaja. Bila bawang kelihatan layu, angkat dan taburkan di atas ayam tadi.



Ita lebih suka ayam goreng ini di goreng dengan garing. Nak-nak kalau kena tulang nipis tu.. rangup jer bila di mamah. Sedap..

Kalau masa kecil-kecil dulu ayah selalu sembelih ayam time Ita balik cuti dari asrama. Ayah suka sembelih ayam dan makan ramai-ramai anak beranak. Bila berkumpul je kami sekeluarga, ayah mesti nak sembelih ayam. Tak kira lah nak dibuat gulai atau goreng. Yang Ita ingat, memang dari kecil lagi Ita memang suka ayam kampung di goreng macam biasa aje. Bila berumah tangga ni.. baru mula masak rempah, siap letak madu bagai..

Apa-apa pun.. bila kita di dapur.., kita bebas bervariasi cara kita.. Boleh buat eksperimen sendiri. Buat dan buat hingga kita capai citarasa yang kita nak. Then, kita jadikan ianya satu resepi kegemaran keluarga kita.

Okey, sehingga jumpa lagi di lain masa. Selamat mencuba.

Assalamualaikum.

Comments

Popular Posts