KEK CHIFFON LEMBUT

KEK CHIFFON YANG LEMBUT..MACAM TILAM..

 Assalamualaikum.. salam untuk anda semua,.. seperti yang Ita janjikan pagi tadi, Ita nak kongsikan resepi kek chiffon yang lembut. Memang sangat lembut. Kali pertama Ita pandai buat kek chiffon semasa tingkat empat. Masa tu.. Cikgu Siti Hawa yang mengajar. Alamak..Ita teruja sangat kerana kek nya terlalu lembut dan Ita tak pernah merasa kek chiffon sebelum tu. Ya lah, mak kita tak pernah buat..macam mana nak tahu kan.

Apapun Ita bersyukur sangat, banyak ilmu yang Ita dapat dari cikgu-cikgu masakan Ita. Pertama sekali cikgu Norashikin, semasa tingkatan satu dan dua. Keduanya, cikgu zainab semasa tingkatan tiga. Dan tingkatan empat dan lima di sekolah yang berlainan pulak tu.., cikgu Siti Hawa.

Melihat kepakaran cikgu-cikgu ini lah membuat Ita semakin semangat untuk mengetahui cara-cara memasak pelbagai jenis masakan. Alhamdulilah, sehingga kini Ita tak pernah jemu untuk berada di dapur. malah, kadang kala tu..bila hujung minggu Ita akan menghadiri kelas masakan yang ada di sekitar Kota Bharu. Dan sekarang, bila pergerakan yang terbatas Ita masih boleh belajar melalui internet dan buku-buku masakan yang suami selalu belikan. Alhamdulillah..

Sekarang Ita nak kongsikan pulak dengan kawan-kawan semua. Apa yang Ita ada, Ita akan kongsikan semuga ianya memberi manafaat kepada kita semua. 

Insyaallah, bila kita kembangkan ilmu yang kita ada, mudah-mudahan Allah akan memberi ganjaran yang lebih baik untuk kita. 

Kek ini tak lah rumit mana nak membuatnya. Masa pun tak lah lama sangat. Cuma nak membakarnya ambik masa sedikit sebab Ita guna suhu oven rendah dan panjangkan masa supaya kek Ita tidak terlalu hangit pada bahagian atasnya.

Warnanya bolehlah diletakkan ikut citarasa ya. Dan lebih sedap kalau setiap warna tu diletakkan dengan perisa seperti kuning, eloklah diletakkan perisa lemon. Begitu juga dengan warna-warna lain.


KEK CHIFFON

Bahan-bahannya:

A

8 biji kuning telur
1 cawan gandum
3 sudu besar tepung jagung
1/2 cawan gula halus
1 sudu kecil baking powder
1/2 cawan minyak jagung
1/2 cawan santan

B
1 cawan gula halus
8 biji putih telur
1/2 sudu kecil cream of tartar

pewarna, mocha, kuning dan biru (ikut citarasa)

Cara-caranya:

  1. Mula-mula sekali panaskan oven.
  2. Sediakan acuan kek chiffon yang lubang ditengah tu.. tak perlu alas dan sapu mentega/minyak ya.
  3. Ayak tepung gandum, baking powder dan gandum. Ayaklah hingga 3 kali supaya tiada tepung yang berketul.
  4. Dalam bekas lain, kacau kuning telur dengan gula hingga sebati. Guna whisk lagi bagus.
  5. Tepung yang diayak tadi, masukkan ke dalam mangkuk dan lubangkan ditengah-tengahnya. masukkan adunan telur dan gula tadi dan kacau. Masukkan santan dan minyak.
  6. Kacau sebati. Ketepikan.
  7. Dalam mangkuk lain, putar putih telur bersama cream of tartar.
  8. Masukkan sedikit-sedikit gula hingga habis.
  9. Putar hingga adunan kental dan bertanduk.
  10. Kemudian masukkan adunan tepung tadi kedalam putih telur. Guna kaedah kaup balik.
  11. Bila sebati bahagikan kepada 3 atau 4 bahagian. Ikut citarasa kawan-kawan ya..
  12. Warnakan mengikut citarasa kawan-kawan jugak. Lebih enak jika dimasukkan perisa mengikut warna yang dimasukkan. Misalnya kalau warna kuning, boleh dmasukkan lemon paste. Begitulah seterusnya.
  13. Tuang ke dalam acuan secara berselang seli.
  14. Bakar pada suhu 150C selama 1 jam bergantung kepada oven masing-masing. Sesetengah oven 160C @ 170C.
  15. Bila masak, angkat dan telangkupkan sekejap dan balikkan semula dan biar sejuk sebelum dikeluarkan dari acuan.
Lebih menarik jika kawan-kawan letakkan 4 hingga 5 lapis warnanya. Nampak lebih colourful sedikit. Nampak meriah gitu.. apa-apa pun boleh lah mencuba mengikut kreativiti sendiri.

Okey hingga jumpa lagi lain waktu dan selamat mencuba.

Assalamualaikum..



Comments

Popular Posts