CHICKEN CHOP

CHICKEN CHOP..KEGEMARAN ANAK-ANAK DAN SUAMI..


Assalamualaikum.. apa khabar semua.. semalam tak sempat berblog, hehehe.. sibuklah kononnya.. maafkan saya...  Tetiba jer mood hilang.. bila dapat tahu Tuan Guru Nik Aziz meninggal.. Ita tak mahu menyentuh pasal politik, Ita lebih terfikir pasal tokoh dan ilmu. Hilangnya, bak hilang lah seri dalam dunia pencarian ilmu. Kerana dengan ceramahan beliau setiap minggu di tengah-tengah bandar Kota Bharu amat memberi makna sekali.

Jika sebelum ini, Ita, suami dan anak-anak akan bersarapan di kedai roti canai setiap jumaat di tengah bandar Kota Bharu sambil mendengar ceramahnya dengan begitu santai sekali. Setiap ceramahnya sentiasa di susuli dengan perumpamaan membuatkan ramai pendengar mudah faham dengan setiap penyampaiannya. Beliau tak memerlukan dewan yang cantik dan mewah untuk berceramah, cukup sekadar di bawah khemah dan pendengarnya akan duduk dimerata-rata dalam bandar Kota Bharu itu. Ditepi-tepi kaki lima, sambil membeli belah di pasar pagi dan kawasannya amat luas sekali. Pendengar bebas untuk duduk mendengar atau berjalan-jalan sambil membeli belah atau makan atau minum di dalam kedai kerana setiap sudut atau tempat yang berdiri mereka akan mendengar ceramahnya dengan baik.

Dan bila rutin yang telah bertahun-tahun ini.., tiba-tiba berubah dengan ketiadaannya, terasa amat janggal sekali. Terdengar laungan azan subuh jumaat lalu, yang sebak kedengaran suara yang mengazan menyebabkan terasa suatu kehilangan besar. Lebih menyayat hati, bila ramai yang bertandang untuk menziarahinya mencecah puluhan ribu menyebabkan banyak jalan-jalan terpaksa ditutup. OOh.. Ita terfikir, ramainya yang datang untuk memberi penghormatan terakhir buatnya. Ramainya yang menyayanginya. Adakah pengganti yang serupa dengannya nanti? Terasa mustahil .. seorang pemimpin yang berpeluang untuk duduk di rumah yang besar dan mewah namun tidak pada dia. Dia tetap dengan rumah asalnya. 

Okey tak mahu melayan lara yang panjang.. Ita nak kongsikan resepi lunch Ita. Sebenarnya, dah Ita maklumkan Ita tak gemarkan sangat western food, tapi sebaliknya pada anak-anak Ita dan suami. Memang Ita tak menanglah..hehehe.. Jadi Ita mengambil keputusan Ita mengalah lah lagi.. Lalu lunch kami terhidanglah dengan chicken chop favourite mereka.. ^-^




CHICKEN CHOP

Bahan-bahannya:                              Bahan untuk coleslaw

4 keping paha ayam-buang tulang    ¼ biji kubis
1½ cawan tepung tempura                1 biji lobak merah
1 sudu teh serbuk lada putih             1 sudu besar jus lemon
1 biji telur                                         ½ cawan mayonis
1 sudu kecil garam                            1 sudu makan yogurt asli
1 cawan air
1 mangkuk jejari kentang – goreng

Bahan sos:

1 biji bawang besar-cincang              2 sudu besar minyak
3 sudu besar sos lada hitam              1 sudu besar gula
½ sudu kecil garam                           2 cawan air rebusan ayam      
2 sudu besar sos tomato                    2 sudu besar kicap pekat
2 biji bawang putih –cincang            2 sudu kecil tepung jagung
1 sudu besar pasley

Cara-caranya:

1.     Perap ayam dengan serbuk lada putih dan garam selama 3 jam.
2.     Panggang ayam di dalam pemanggang ajaib sehingga separuh masak.
3.     Bancuh tepung tempura bersama air dan telur.
4.     Panaskan minyak. Celupkan ayam di dalam adunan tepung dan goreng hingga masak.
5.     Membuat Sos Lada Hitam: Panaskan minyak. Tumis bawang merah, bawang besar dan bawang putih.
6.     Masukkan air  rebusan ayam. Kacau.
7.     Masukkan sos lada hitam, sos tomato,  pasley,  gula,  kicap pekat dan tepung jagung. Sesuaikan rasa.
8.     Membuat Coleslaw:  Hiris halus sayur dan gaul semua bahan-bahannya.

9.     Hidang bersama kentang goreng dan coleslaw.


Okey dah siap.. lunch kami. Rasanya yang enak memang kena dengan selera anak-anak. Ita apalagi, terangkat lah. Tentunya, setiap hasil yang kita lakukan kena pulak dengan citarasa anak-anak, memang terasa kegembiraannya..


Dan Ita jamin, anda takkan menyesal mencubanya..

Okey assalamualaikum... selamat mencuba.

Ikhlas, jujur, ingat Allah..insyallah selamat..

Comments

Popular Posts