GULAI MASAK BUDU

LAUK KELANTAN WARISAN MAMA..


 Assalamualaikum.. salam sejahtera buat teman-teman semua. Hari ni teringat zaman kanak-kanak lagi. Ma (ibu Ita) sangat cermat dan berjimat orangnya. setiap sen yang dikeluarkan..semuanya dikira. Ma insan yang suka berjimat cermat. Ma tak kisah berpenat-penat sedikit dalam menyediakan juadah untuk keluarga. Apa yang Ita perhatikan, Ma masak sedap-sedap tapi kos yang dikeluarkan tidak banyak....

Dan hari ini Ita nak sharekan, salah satu resepi berjimat cemat ma,.. yang Ita gemari. Nak tahu apa dia tak? emm.. tak lain dan tak bukan resepinya adalah Gulai Masak Budu. Kos nya sangat-sangat murah.. santan dari kelapa sendiri, telur ayam kampung dari ayam sendiri, dan yang cuma ma belinya hanya budu sahaja.Hihihi..parokk.. meme save budget sengoti lah..

Sayur-sayuran kebanyakkannya ma tanam sendiri ataupun dari kebun nenek. Kelapa kami banyak. Kalau ada yang kenduri, ramai yang datang membeli kelapa kami. Ikan pulak.., kebiasaannya ayah pancing dari sawah atau sungai berdekatan sawah. Kadang-kadang udang yang besar-besar. memang indahnya bila teringatkan zaman kanak-kanak dulu. Kalau sekarang, kita terpaksa makan ayam bandar, sedangkan dahulu ayah akan sembelih ayam kampung dan ma gulai sedap-sedap. Kami berkumpul keliling talam yang penuh dengan hidangan kampung. Aduhs!! best sangat ingatkan masa tu. Adik beradik Ita ramai, maka tentunya ma masak banyak-banyak. Kalau musim padi pulak, ayah akan menjala burung di sawah. Ita yang akan ikut ayah sebab adik beradik kami dari nombor satu hingga nombor lima.., semuanya perempuan. 

Bila kenang-kenangkan balik, Ita rasa dengan kehidupan yang macam tu hingga Ita membesar, banyak pengalaman yang tak boleh dibeli yang Ita dapat. Walaupun kami berharta, kami tetap kena kerjakan harta-harta itu untuk menjadi duit. Misalnya kalau ada tanah sawah, kami kena usahakan sawah itu. Dan bila musim sawah berlalu, kena tanam pokok tembakau. Dan Ita, masih ingat, petang-petang lepas pulang dari mengaji quran.. Ita menolong ayah mengutip daun daun tembakau untuk dijual keesokkan harinya. Biasanya ayah akan bagi upah. Nak tahu apa yang Ita beli setiap kali dapat upah. Ita akan berkejar-kejar ke kedai runcit kat kampung Ita untuk membeli oren Kelantan... hahahaha... tentu yang wujud seangkatan dengan Ita akan kenal oren Kelantan. Tak silap Ita, oren Kelantan tu memang wujud lagi sekarang. Rasanya lah... adoooii.. sayu ingat kembali kisah-kisah lama ni..

Sebelum melalut panjang-panjang, meh!! Ita share kan resepi Ita ya.

GULAI MASAK BUDU

Bahan-bahannya:

200 ml santan pekat
1 liter air
5 biji telur ayam
4 batang serai
2 keping asam gelugor
gula dan garam secukup rasa
1/2 cawan budu
1 sudu besar cili kisar

bahan-bahan tumbuk lumat:

4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih

Cara-caranya:

  1. Masukkan air, santan dan bahan tumbuk ke dalam periuk.
  2. Masukkan cili kisar, kacau.
  3. masukkan serai, asam gelugor, gula dan budu.
  4. Sesuaikan rasa. Jika kurang masin boleh tambah sedikit garam.
  5. Bila mendidih, masukkan telur dan kacau.
  6. Angkat dan hidangkan.
Okey.., ini lah lauk yang pernah ma masak untuk kami adik beradik. Dan air tangan itu lah yang menjadikan kami seperti sekarang. alhamdulillah, masing-masing dah ada kerjaya sendiri. Salah seorang dari nya adalah doktor hospital kerajaan, tercapai juga hasrat ma untuk melihat anaknya menjadi doktor. Sesungguhnya, air tangan yang penuh berkat itu menjadi bukti dengan kejayaan kami adik beradik. Jasa ibu tetap kami kenang sampai bila-bila. Dan restu ibu juga menjadikan kami hidup aman dan damai.

Sehingga jumpa lagi.. Assalamualaikum..


Comments

Popular Posts