WAJIK

KENAPA WAJIK?





Assalamualaikum.. selamat pagi.. apa khabar. Semuga semuanya dalam keadaan yang sihat walafiat hendaknya. 

Pagi ini Ita nak kongsikan satu resepi dari ibu Ita yang selalu dia buat masa Ita kanak-kanak dulu. Namun kuih ni jarang dibuatnya sekarang. Mungkin kerana dia hanya tinggal berdua dengan ayah sahaja menjadikan banyak kuih yang ingin dimakannya dibeli sahaja dari kedai. 

Emm.. betul jugak kata sesetangah orang.., bila kita tua nanti kita kembali menjadi merpati dua sejoli kerana anak-anak sudah ada kehidupan  sendiri.

Ita bersyukur sangat mempunyai ibu yang sangat-sangat memahami kehidupan anak-anaknya malah selalu berdoa dan melakukan solat hajat untuk anak-anak supaya kehidupan anak-anaknya sentiasa dalam lindungan Allah snt.

Walaupun tinggal berdua, ma selalu juga buat kuih muih, cuma kuih yang jarang dibuatnya, dia akan beli. Hidupnya kembali ringkas setelah ketiadaan anak-anak disisi. Memahami kesibukan anak-anak menjadikan dia tidak pernah merungut terhadap anak-anaknya. Terima kasih ma..


Jom Ita kongsikan resepi wajik dengan anda semua. Resepi ini adalah resepi ma  Ita yang diwarisi dari ibunya.


WAJIK

Bahan-bahannya:
2 cawan beras pulut-rendam semalaman
1 cawan air
Secubit garam
1 kotak santan KARA
70 gm gula melaka
140 gm gula merah-cincang
½ cawan gula
½ cawan air

Cara-caranya:
  1.  Pulut dikukus bersama 1 cawan air dan secubit garam hingga masak.
  2.  Angkat. Ketepikan.
  3. Dalam kuali, masukkan gula, gula melaka, gula merah dan ½ cawan air di masak hingga gula hancur.
  4.  Angkat dan tapis.
  5.  Masukkan semula ke dalam kuali, masak hingga mendidih.
  6.  Masukkan santan. Kacau.
  7.  Masukkan pulut dan kacau hingga kering dan likat.
  8. Angkat dan masukkan ke dalam loyang yang beralas daun pisang supaya ia tidak melekat.

   Wajib adalah menu wajik pada kebiasaan kenduri. Rasanya yang lemak-lemak manis memang sesuai sebagai pencuci mulut selepas makan kenduri. Sesetengah masyarakat kita masih menyediakan wajik di sebagai hantaran.

 Okey selamat mencuba.

 Assalamualaikum..


Comments

Popular Posts