ASAM PEDAS IKAN PARI

ANAK-ANAK SUKA SANGAT DENGAN ASAM PEDAS



Assalamualaikum.. apa khabar tetamu-tetamu blog Ita.? Harap semuanya sihat dan senangtiasa dalam lindungan Allah s.n.t.

Tiada seindah masa selain dari masa memasak didapur Ita untuk keluarga tersayang. Walaupun agak lama menyepikan diri dari blog ini, namun dapur di rumah Ita tetap berasap menyediakan hidangan buat suami tersayang dan anak-anak tercinta.

Seperti perempuan lain juga, memasak adalah sebahagian dari kehidupan Ita, sementelah lagi bila cuti panjang begini, lagi banyak lah perancangan menu setiap hari, ditambah pulak dengan adanya anak perempuan Ita, bertambah-tambahlah Ita rajin ke dapur. 




Si kakak yang masih lagi menunggu keputusan untuk menyambung ijazahnya menjadikan masanya bersama Ita agak panjang. Dia lah yang menjadi driver Ita sepanjang Ita cuti sakit dan sentiasa membantu Ita di dapur. Terfikir juga Ita nanti macam mana jika ketiadaannya nanti. Dah hampir 10 bulan Ita tak memandu dan tak dapat memandu kerana kaki kanan Ita mengalami masalah saraf. Namun hobi memasak tetap diteruskan dengan bantuan anak perempuan Ita. alhamdulillah..


Terkadang terfikir juga.. mengapa Ita bertemu jodoh pada usia yang agak awal. Dan.. bila melihat sepupu dan kawan-kawan yang sebaya masih lagi dengan anak-anak kecil menjadikan Ita bersyukur kerana keadaan kesihatan Ita yang tak berapa nak baik pada usia sekarang. Jika Ita masih ada anak kecil tentu amat menyulitkan untuk Ita menguruskannya kerana suami tidak lagi bertugas di Kota Bharu. 

Panjang pulak rasanya cerita Ita kali ini. Malam ni Ita nak kongsikan resepi Ikan pari Masak Asam Pedas. Sebut jer asam pedas, teringat anak-anak Ita yang sangat gemarkan asam pedas. Pada mereka kalau tiap-tiap hari makan asam pedas pun tak apa. Namun Ita olahkan dengan mengurangkan cili supaya anak-anak Ita dapat  menikmatinya tanpa gangguan. Ita gandingan asam pedas ikan pari ini bersama rendang daging kegemaran suami dan kangkung goreng belacan. Manakala sebagai makanan sampingan Ita sediakan pulut durian.

Jom kita semak resepinya:

ASAM PEDAS IKAN PARI

Bahannya:

2 ekor ikan pari ( cuci dan potong 6 bhgn)
1 ikat daun kesum
2 batang bunga kantan
2 batang serai
3 ulas bawang merah-mayang halus
3 ulas bawang putih-mayang
1 inci halia-hiris nipis
1 sudu kecil halba
1 biji tomato - belah 2
air asam jawa secukupnya
4 helai daun limau purut
garam dan gula secukupnya
sedikit minyak untuk menumis

Bahan kisar:
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1 inci halia
1 inci kunyit
7 biji lada kering _ rendam air panas sekejap
sebesar ibu jari - belacan

Caranya:


  1. Panaskan minyak, goreng bawang merah, bawang putih dan halia.
  2. Masukkan halba dan bahan kisar. Kacau.
  3. Masukkan serai.
  4. Bila naik bau masukkan daun kesum dan bunga kantan.
  5. Masukkan garam dan gula, sesuaikan rasa. Tapi bulan-bulan puasa ni..agak-agak lah ya..
  6. Bila mendidih, masukkan ikan pari tadi.
  7. Biar merenih hingga ikan masak.
  8. Masukkan daun limau purut dan tomato.
  9. Sedia untuk dihidang, lebih enak jika dihidang dengan nasi panas. Sebab itu bila setengah jam nak berbuka, baru Ita masak.

Emm sedap sangat. Lebih suka bila anak-anak dan suami menyukainya. Kalau nak pedas, bolehlah ditambah cili kering ya. Ita tak buat pedas sangat sebab anak-anak tak tahan pedas. Begitu juga suami.

Okey hingga jumpa lagi, Ita doakan semuga kawan-kawan semua sentiasa dilimpahi rezeki yang tidak terbatas dari Allah snt.

Assalamulaikum.





Comments

Popular Posts