POPIA GORENG

LAMA TAK MAKAN POPIA GORENG..



ASSALAMUALAIKUM... Salam sejahtera buat semua pengunjung dapur maya Ita kali ini. Memang agak bersarang blog Ita. Ni Ita nak cuci-cuci sikit dapur Ita ni yang dah  hampir dua bulan tak silap Ita tak mengupdate nya. Terlalu banyak sebab-sebab yang menjadikan Ita tak mampu nak memetik keyboard kesayangan Ita ini.

Nak ikutkan mood Ita ni, masih kelaut lagi. Tak tahu kenapa.. rasa begitu sukar sangat untuk menaip dan berkongsi cerita di kawasan tak terlarang ini. Kalau nak ikut faktor tu..memang banyak sangat.. Ita sakit.. dan masih belum muncul-muncul mood berblog ni.. Entah kemana menghilang rasa itu.. jiwa kosong sangat-sangat. Namun Ita tetap bersyukur kerana tugas memasak untuk keluarga masih dapat dilaksanakan dengan bantuan suami dan anak-anak..

Nak tahu Ita masak apa dan nak kongsi apa hari ini..? Ita nak kongsikan popia goreng kegemaran Ita. Lama dah tak buat popia goreng ni.. Alhamdulillah..semua ahli keluarga sukakan hidangan ini. Rasa campuran sayur dan kerangupannya memang tak terkata sedapnya, ditambah pula dengan sos pedas-pedas manisnya.. memang gandingan mantap.

Jom Ita kongsikan resepi ringkas ini:

POPIA

1 peket kulit popia
sedikit air - untuk melekatkan kulit popia
Minyak secukupnya

Bahan inti:

2 cawan taugeh
1/2 biji lobak merah-potong memanjang
1/3 biji sengkuang-potong memanjang
2 ulas bawang merah-hiris
3 ulas bawang putih-hiris
1 biji cili merah-cincang
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula

Bahan sos:

1/2 cawan sos cili
1/2 cawan sos tomato
2 sudu besar cuka
secubit garam
1/5 cawan air
3 sudu besar gula

Cara-caranya:


  1. Panaskan sedikit minyak, tumis bawang merah dan bawang putih hingga layu.
  2. Masukkan sengkuang dan lobak merah. perlahankan api, biar sayur layu atau lembut.
  3. Masukkan taugeh, cili merah, garam dan gula. Kacau rata. Angkat.
  4. Ambil sekeping kulit popia. letakkan inti dan lipat.
  5. Tangkupkan dengan menggunakan air sebagai gam.
  6. Panaskan minyak masak dan goreng hingga warna keemasan.
  7. Membuat sos: campur semua bahan sos dan kacau diatas api perlahan hingga gula larut.
  8. Hidangkan bersama popia.




Enak di makan ketika masih panas kerana keranggupannya mampu mencairkan selera anda.

Selamat mencuba.

Assalamualaikum..


Comments

Popular Posts