SIRA LABU

MAKAN KAT TEMPAT KENDURI.. TAPI BALIK RUMAH DOK TERINGAT LAGI..



Assalamualaikum... apa khabar semua.. Ita harap semuanya dalam keadaan yang sihat walafiat. Banyak kenduri tak? Tentu-tentu saja kan.. seperti juga anda, Ita pun demikian juga. 


Kata suami, jangan abaikan undangan orang. Tapi bila terlalu banyak sangat undangan dalam satu hari, ada juga yang terpaksa dilepaskan. Namun, biasanya Ita akan pergi keesokkan hari nya. Jumpa dengan tuan rumah dan minta maaf adalah lebih baik dari tidak pergi langsungkan. Kena pulak tempat kenduri tu jauh dari rumah. maka dalam satu hari mungkin dapat pergi 4-5 majlis sahaja. Itu pun tak sempat makan, sekadar jumpa dengan tuan rumah dan pengantin sudah memadai.

Majlis kenduri di rumah makcik Ita tempuhari amat mengembirakan Ita kerana disitu kami dapat berkumpul dan berjumpa dengan saudara mara. Saudara mara yang jauh akan balik ke kampung dan berkumpul disitu. Makcik Ita membuat majlis kesyukuran. Lebih dari 30 jenis makanan yang dihidangkan tak silap Ita. Makcik Ita memang suka menjamu tetamu dan memasak. Dapat memberi tetamu makan yang enak-enak memberi kepuasan kepadanya dengan percuma pulak tu. 

Makanan yang dihidangkan adalah masakan sendiri oleh ahli keluarga. Mempunyai keluarga yang ramai memberi kelebihan kepada keluarga kami kerana dapat bergotong royong menyiapkan hidangan. Salah satu kegemaran Ita pada hidangan hari itu ialah sira labu. Ita makan dengan sesungguh hati.. memang sedap.

Balik dari rumah makcik Ita, Ita masih tak puas nak makan sira labu. Kebetulan kat rumah Ita masih ada lagi sebiji labu yang selalu Ita beli untuk dibuat gulai ayam bersama labu. Hurmm..Ita pun apalagi terus mengupas labu dan membuat sira. Makanlah Ita dengan sesungguh hati.

Jom Ita kongsikan resepinya.

SIRA LABU

Bahan-bahannya:

1/2 biji labu sederhana besar
350 gm gula 
400 ml air
1 helai daun pandan
8 kuntum bunga cengkih

Cara-caranya:

  1. Labu dibuang kulit dan belah ikut lengkuknya.
  2. Rendam ke dalam air kapur sekejap (1 liter air + 2 sudu air kapur) - Ita rendam 30 minit.
  3. Masukkan gula, air, daun pandan dan bunga cengkih ke dalam periuk.
  4. masukkan labu tadi. Jangan masukkan air rendamnya ya.
  5. Masak sehingga labu empuk, gula hancur dan pekat.
  6. Sejukkan dan hidangkan.
Gula boleh diletakkan mengikut kesesuain kemanisan yang di ingini.

Selamat Mencuba.

Assalamualaikum.

Comments