LONTONG DAN AIR CINCAU

HIDANGAN IFTAR KE 9..







Assalamualaikum, selamat pagi semua. Semuga teman-teman Ita semuanya dalam lindungan Allah, snt.


Sebagai ibu, isteri dan kakak kepada adik lelaki yang tinggal bersama Ita. Ita, terkadang buntu memikirkan juadah yang akan dihidangkan semasa berbuka. Kalau boleh Ita mahu semua ahli keluarga berpuashati dengan hidangan yang di sajikan nanti. Mungkin selera berbeza antara ahli keluarga, namun masa kita amat singkat di dapur untuk menyediakan banyak hidangan.

Semalam Ita membuat keputusan untuk menyediakan hidangan yang ringkas-ringkas sahaja. Memandang akhir-akhir ini kesihatan Ita tak berapa nak baik. Jadi Ita pastikan Ita tak berada di dapur terlalu lama untuk menyediakan makanan.

Ita menyediakan  lontong dan air cincau untuk hidangan keluarga di samping puding karamel yang diberi mak saudara Ita. Banyak pulak mak saudara Ita ni bagi. Jadi, bolehlah di makan puas-puas. Memiliki saudara mara yang ramai, membuat Ita rasa sangat bersyukur kerana kehidupan Ita tidak menjadi sunyi. Rumah selalu di datangi oleh nenek saudara, sepupu-sepupu, emak dan bapa saudara menjadikan hidup Ita lebih gembira. 

Memiliki sepupu-sepupu yang ramai yang amat menyenangkan hati Ita. Sokongan yang diberikan semasa Ita sakit menjadikan Ita tidak terlalu tertekan. Begitu juga, bila Ita menghasilkan buku-buku masakan. Mereka sangat memberi sokongan dan galakan yang berterusan. Alhamdulillah.

Okey.. dah panjang ceritanya. Jom Ita kongsikan resepi lontong yang Ita buat semalam ya. gandingannya air soya cincau.

LONTONG

Bahan-bahannya:

3 peket beras nasi impit (Ita guna brand ADABI)
- di rebus hingga padat
-sejukkan

Bahan kuah:

500 gm santan pekat
500 ml air
2 biji terung- potong memanjang
1 batang lobak merah-potong bulat
3 batang jagung muda-potong kecil
3 kelopak kobis-potong
1 keping asam gelugor
2 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
1 sudu besar cili kisar
1/2 kiub pati ayam (Ita letak-ikut suka kalau tak nak ya..)
Bahan kisar:
1 liter air
4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1 inci lengkuas
2 inci kunyit 

cara-caranya:

  1. masukkan bahan kisar ke dalam periuk. 
  2. Masukkan garam, cili kisar, gula, kiub pati ayam, asam keping dan air.
  3. Bila mendidih, masukkan santan dan kacau rata.
  4. Bila mendidih, masukkan sayu-sayuran dan kacau hingga sayur layu.
  5. Angkat dan ketepikan.

SAMBAL IKAN BILIS

Bahan:

1 1/2 cawan ikan bilis kecil
1/2 cawan cili kisar
1/2 sudu kecil garam
1/2 kiub pati ayam
2 sudu besar gula
1 inci halia-potong kecil
1 keping asam gelugor
1 biji bawang besar-potong bulat
1/2 senduk minyak

Bahan kisar:

1 biji bawang besar
4 biji cili padi
4 ulas bawang putih

cara-caranya:

  1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar bersama halia dan cili kisar hingga naik bau.
  2. Masukkan garam, gula, kiub pati ayam dan asam gelugor. Kacau rata.
  3. Masukkan ikan bilis dan kacau hingga masak.
  4. Akhir sekali masukkan bawang besar dan kacau hingga bawang layu.
  5. Hidang bersama nasi impit dan kuah lontong.

AIR CINCAU

Bahan-bahannya:

500 gm kacang soya
3 liter air
2 helai daun pandan-disimpul
2 cawan cincau yang di sagat
air sirap gula secukupnya

Cara-caranya:

  1. Kacang soya di rendam selama 2 jam.
  2. Kisar bersama air.
  3. Tapiskan ke dalam periuk. Masukkan daun pandan.
  4. Bila mendidih. Angkat dan ketepikan.
  5. Curahkan kedalam jag dan masukkan sirap gula secukupnya.
  6. Masukkan cincau dan kacau rata.
  7. Hidang bersama ais.
Selamat mencuba..

Assalamualaikum..




Comments