NASI TOMATO

NASI TOMATO.. MENUNGGUNYA PULANG..




Assalamualaikum, salam sejahtera buat semuanya. Teringat Ita zaman persekolahan dahulu, bila mana cikgu masakan mengajar kami buat nasi tomato. Masa tu Ita rasa tak kena dengan selera anak tekak Ita. Tak pernah makan nasi tomato. Ma (ibu Ita) tak pernah buat nasi ni, selain nasi putih, ma selalu akan buat nasi goreng dan dan nasi lemak sahaja. Nasi dagang jarang-jarang.., itu nasi dagang yang ditempah. Jadi.., macam mana nak masuk dengan selera kita, jika ma tak pernah nak hidangkan nasi ni..untuk kita orang.

Sehingga berkahwin, suami pulak sukakan nasi minyak, nasi beriani, nasi tomato juga, Ita mula mengambil langkah untuk menjadikan salah satu hidangan kami. Jadi lama-kelamaan Ita sudah boleh menerimanya. Apatah lagi menjadi kesukaan anak-anak. Suka pulak Ita untuk membuatnya. Jadi bila anak Ita berjauhan nanti, tidaklah mereka berasa kekok menemui apa jua jenis nasi sebab mereka boleh menyesuaikan nya. Alhamdulillah.


NASI TOMATO

Bahan-bahannya:

3 1/2 cawan beras 
3 cawan air kosong
(Basmati lagi bagus)
1/2 cawan susu cair
4 ulas bawang merah-hiris
3 ulas bawang putih-hiris
1/2 inci halia-hiris
1 sudu kecil garam
1 cawan tomato puree
3 sudu besar minyak sapi
1 sudu besar minyak masak
5 biji buah pala
2 kuntum bunga lawang
1 batang kayu manis


Cara-caranya:

1- Panaskan minyak sapi dan minyak masak.
masukkan bawang merah, bawang putih, bunga lawang, kayu manis dan buah pala serta halia.

2- Bila wangi masukkan tomato puri dan garam. kacau.

3- Masukkan susu cair.

4- Masukkan beras yang telah dicuci. 

5- Masukkan 3 cawan air kosong. Bila mendidih letakkan dalam periuk nasi elektrik. Masak macam biasa.


DALCA AYAM

400 gm ayam-potong kecil2
1 cawan santan pekat
1 liter air
1 keping asam gelugor
2 sudu rempah kari
4 batang kacang panjang
2 biji jagung kecil-potong
1/2  batang terung-potong panjang
1/2 batang lobak merah-potong panjang
3 biji bawang merah-hiris
2 ulas bawang putih-hiris
1/2 inci halia-hiris
1 camca teh garam
1 sudu besar gula
1/2 kiub pati ayam
2 kuntum bunga lawang
1 batang kayu manis
3 biji buah pala
3 sudu besar minyak masak

Cara-caranya:

  1. Panaskan minyak, tumis bawang merah, bawang putih, bunga lawang, kulit kayu manis dan buah pala serta halia hingga naik bau.
  2. Masukkan rempah yang telah dibancuh dengan sedikit air. Masak hingga rempah masak.
  3. Masukkan ayam, perlahankan api, tutup periuk dan biar hingga ayam masak.
  4. Masukkan garam, gula, kiub pati ayam serta asam keping.
  5. Masukkan air. Bila mendidih, masukkan santan. 
  6. Bila mendidih lagi masukkan semua sayur-sayuran. Sesuaikan rasa.
  7. Jangan biarkan sayur terlampau layu.
  8. Angkat dan hidangkan bersama nasi tomato dan ayam masak merah.
  9. Klik DISINI untuk dapatkan menu ayam masak merah.

Okey.. itu lah dinner kami untuk kelmarin. Terima kasih buat anak-anakku yang sudi membantu umi didapur. Anggaplah ia sebagai ilmu yang akan digunakan dikemudian hari

 SELAMAT MENCUBA





Comments

Popular Posts